Thursday 3 May 2012

Malam Pertama Teater Trilogi ROMPAKAN BERSEPADU ep1 - Plan B











Show masih berbaki lagi jumaat, sabtu dan ahad. Jam 8.30 malam di Stor Teater DBP K.L. Tiket berharga RM20 dan tempahan 012-629337.

Monday 30 April 2012

Amaran untuk penonton Rompakan Bersepadu

Hari khamis ni (03 mei 2012) pementasan Projek Teater Trilogi ROMPAKAN BERSEPADU akan berlaku. Tempat kejadian jenayah di Stor Teater DBP, jam 8.30 malam. Nak masuk ke tempat kejadian perlu ada passwod RM 20 boleh dapat di kaunter. Dan pementasan berlangsung selama 4 hari je, hingga ahad (06 mei 2012) - tiket juga boleh ditempah di 012-6293327.

Amaran oleh pihak Paradoks Production. Teater ini menggunakan elemen asap rokok. Dan siapa yang alah dengan asap rokok harap pertimbangkan semula untuk menonton, atau jangan duduk terlalu dekat dengan ruang lakon. Dan peringatan juga untuk penonton, teater ini menggunakan elemen suram dan malap, jadi jangan bermain telefon anda kerana cahayanya akan mengganggu mood pelakon dan penonton lain. Untuk mengambil gambar pula dibolehkan, cuma pastikan tiada pantulancahaya dan tidak bising. Harap faham kerana sesungguhnya anak yang soleh, ialah anak yang menurut kemahuan baik kedua ibu bapanya.

Teater ini merupakan produksi entah keberapa milik Paradoks Production, tapi apa yang pasti produksi teater pertama beraliran realisme dari kami. Pelakon yang bermain dalam pementasan ini ialah Rayza MukMin, Aman Nassim, Fasyali Fadzly, Shyrudin dan Mustaqim. Setiap mereka menggalas watak selaku ahli kumpulan rompakan yang tidak diumunkan namanya. Baru merompak kedai emas dan pelan mereka yang telah kucar-kacir mungkin menyebabkan ada antara mereka yang belot.

Aloy Paradoks, penulis dan pengarah teater ini pula. Dia sengaja memilih untuk membuat teater yang suram dan  pacing yang mati untuk menguji kemampuan pelakon. Dan menguji itu memang jadi salah satu dari hobinya dalam teater sejak dulu lagi. Menurut sejarah dia sendiri, Aloy Paradoks pernah buat buat teater yang tak menggunakan lampu langsung, dan pelakon bermain dalam gelap. Hal itu mendapat pelbagai reaksi positif dan negatif dari penonton. Namun katanya, teater yang aku buat bukan berkaitan dengan kamu suka atau tidak, tapi apa yang kamu rasa.

Tuesday 24 April 2012

Temuramah bersama The Sun

Ini adalah hasil penulisan tidak rasmi yang dikutip melalui sesi temuramah antara wartawan The Sun (Bissme) dan Aloy Paradoks.

Bissme : Aku tertarik dengan Projek Teater Trilogi yang kau akan pentaskan tu. Tapi kenapa buat trilogi?

Aloy : Aku ni pembikin teater generasi baru. Dan selain aku ada berpuluh-puluh lagi pembikin baru. Tapi apa yang membezakan aku dengan dia orang? Itu yang aku perlu mencari kelainan, dan ini yang aku cuba buat, walaupun ia sebenarnya bukan benda baru, terutama kalau dilihat dalam scene filema.

Bissme : Dari mana idea nak buat trilogi ni muncul?

Aloy : Mula tahun 2009 lagi, tapi aku simpan dulu sebab pada masa tu yang datang idea pembikinan, tapi idea cerita dengan konsep tak ada. Baru-baru ini, awal tahun 2012, kawan aku Razaisyam Rashid balik bercuti ke Malaysia 2 hari. Malam pertama dia di sini, dia tonton lakonan aku dalam teater 1 Plastik Hitam. Lepas tu kami lepak mamak. Dia kata dia suka dengan karekter aku dalam teater tu dan kata nak kembangkan watak jadi watak filem. Jadi kami sepakat malam tu, esok nak buat filem pendek untuk dihantar bagi tayangan festival luar negara. Kemudian Nazri M.Annuar ditugaskan menulis skrip dan jalan cerita. Esoknya kami jumpa awal pagi, Nazri bagi skrip, tajuknya TIKAM. Aku jadi pelakon dalam short tu. Kemudian dari TIKAM aku kembangkan lagi cerita tu bawak ke naskah teater. Tapi tajuk aku tukar ke ROMPAKAN BERSEPADU. Jadi idea ROMPAKAN BERSEPADU kemudian digabung balik dengan idea untuk membuat teater secara trilogi sebelum ni.

Bissme : Kamu yakin trilogi ni akan berjaya?

Aloy : Berjaya dari segi apa? kalau nak bandingkan kejayaan trilogi Rompakan Bersepadu dengan Lord Of The Ring, mmg gagal la. Tapi kalau dari segi teater malayu saja, mungkin boleh. Atau dari segi menyiapkannya mungkin berjaya. Tapi kalau dari segi keuntungan catat juta-juta, usah mimpi la.

Bissme : Jadi kenapa kamu buat jugak.

Aloy : Aku perlu ada cara bagaimana boleh 'memegang' khalayak aku. Mungkin ini salah satu cara.

Bissme : Kenapa mereka(penonton) perlu menonton teater ini?

Aloy : Ini kali pertama aku buat teater konsep realisme, aku cuba buat teater yang suram. Kali ini teater aku menggunakan prop yang banyak dan set. Kalau sebelum ni teater aku tak perlukan semua tu. Suram yang  aku  maksudkan tadi tu ialah gaya lakonan dan pacingnya. Sengaja aku buat slow dan malap.

Bissme : Kenapa?

Aloy : Menguji pelakon. Adakah mereka mampu dalam mood yang suram dan mati, membuatkan penonton terpaku. Aku bermain dengan bahaya sebenarnya. Mungkin ada yang akan enjoy, dan mungkin ada yang akan bosan.

Bissme : Kenapa bermain dengan bahaya dan mengundang untuk orang tak suka?

Aloy : Teater bukan berkaitan dengan apa yang kamu suka, tapi apa yang kamu rasa.

Bissme : Selain dari trilogi, ekperimen mood suram, apa lagi yang membuatkan penonton harus menonton teater ni?

Aloy : Aku tak membuat teater ini untuk medan protes dan khutbah. Aku cuma buat ia untuk jalan ceritanya. Motif teater tu ada banyak dan bergantung pada pembikinnya. Dulu benda ni orang buat untuk sebagai alat propaganda. Sekarang sebagai tanda protes. Itu masing-masing punya hak macam mana nak gunakan. Tak ada masalah. Aku pilih untuk bercerita.

Bissme : Kamu tak ingin ke pasaran mainstream? Sampai mahu kekal bermain di pentas indipendent?

Aloy : Indipendent atau mainstream bukan masalah pada aku. Indipendent tu juga bukannya satu aliran, tapi adalah cara bergerak. Aku tak mampu bergerak di aliran mainstream, jadi aku pilih yang satu lagi. Kalau ada peluang untuk membikin di pentas perdana, dan naskah sesuai di situ, aku tak ada masalah. Seni itu tidak harus terpecah dan berpuak-puak. Cuma cara kamu bergerak mungkin berbeza.

Bissme : Jadi kamu akan ke mainstream satu hari nanti?

Aloy : Kalau bercakap tentang teater mainstream, kita adalah masalah besar di Malaysia. Sebenarnya di sini teater mainstream itu hanya Muzikal. Itu yang mendapat sambutan. Aku pula bukan pembuat teater muzikal, itu bukan bidang dan kemampuan aku, jadi macam mana saya nak buat teater mainstream kalau yang mainstream tu aku memang tak boleh buat.

Bissme : Adalah teater-teater muzikal di Malaysia teruk.

Aloy : Teater yang teruk bukan di muzikal saja, teater-teater realisme, ekperimen dan di aliran alternatif juga banyak yang teruk. Tapi sebab orang tak tahu tentang teater mereka, jadi tak ada siapalah nak kata teruk. Kan?

Bissme : Apa yang kamu cuba perjuangkan dalam teater?

Aloy : Penulisan karya baru. Tenaga pengajar di universiti walaupun tak semua, tapi banyak yang tak menggalakkan pelajar menulis karya baru. Semua harus mementaskan semula karya-karya lama. Karya itu bukan tak bagus, tapi zamannya dah berlalu. Kalau asik pentaskan yang lama je, bilanya nak berkembang? Kalau kita asik tonton filem P.Ramle, dan tak buat filem baru, adalah filem kita akan maju? Macam tu jugak dengan teater? 

Bissme : Tak bagus pentaskan semula karya lama?

Aloy : Bagus, boleh belajar interpretasi karya orang. Tapi kalau kita tak belajar buat karya sendiri, sampai bila-bila pun tak boleh. Hasil pertama kita mungkin teruk. Tak apa, biarkan... tapi dari situ kita belajar dan belajar. Kalau tak buat bilanya nak belajar.

p/s : banyak perkara yang di soal dan bincang hari tu, tapi takpelah. Cukuplah sampai sini.

Monday 23 April 2012

Sinopsis ROMPAKAN BERSEPADU - Plan B

Lima orang lelaki perompak semi-pro melakukan rompakan ke atas kedai emas. Halim mengetuai empat lagi rakannya yang lain, iaitu Nizam, Dani, Zul dan Jumat. Namun rancangan mereka sedikit lari dari pelan asal, polis menyerbu ke tempat itu lebih awal dan mereka terpecah 3 semasa lari menyelamatkan diri.

Halim yang menyorok di belakang kilang kertas, akhirnya terjun ke dalam lombong dan bersembunyi di situ lebih berjam-jam lamanya. Nizam pula bersusah payah lari memapah Jumat yang terkena tembakan, sementara Dani dan Zul menjadi yang terawal sampai ke markas mereka.

Persoalannya, adalah setiap dari mereka membawa pulang emas hasil rompakan tersebut? Atau ada helah yang bakal berlaku selepas semua itu terjadi. Dan adakah apa yang menjadi kucar-kacir itu benar-benar lari dari plan, atau semuanya telah diplankan?

Siapa pula yang pasang plan? Ada berapa plan? Dan plan mana yang berjaya?

Saturday 21 April 2012

Apa Kata Pelakon Rompakan Bersepadu - Plan B




"Sebenarnya tawaran berlakon teater ni dah lama aku dapat. Cuma sebelum bagi kata putus, aku kata aku tak nak watak yang streotaip. Aku selalu dapat watak kelakar. Aku tak boleh terima benda tu. Aku tak kelakar. Dan akhirnya bila dapat skrip, watak aku kali ni memang mencabar dan berbeza dari watak-watak pernah aku bawak sebelum ni." - Fasyali Fadzly







"Jarang ada orang nak teater yang twist macam ni. Selalu orang buat teater protes dan nasihat. Cuma pacing cerita dan rentak lakon yang slow tu memang cabaran. Dan Paradoks, kekal dalam caranya, krew produksi sikit. Tolak pelakon dan pengarah. Hanya seorang krew untuk jaga audio. Mana ada duit nak bayar ramai-ramai"                        -Rayza MukMin







"Ini pertama kali Paradoks, dan pengarah ni nak buat teater realisme. Pertama kali dan dia cuba nak bermain dengan tempo yang slow. Bahaya. Kalau pelakon tak dapat feel betul-betul sampai ke maksud yang pengarah nak. Memang bahaya." - Shyrudin







"Bila pengarah kata nak buat show yang suram. Lepas tu tengok cara dia bagi subteks. Aku dah mula risau. Dia ni biar betul. Selalu Paradoks akan tekankan style lakonan dan tindak balas yang laju. Segala berlaku dengan pantas, dan banyak gerak-gerak simbolik yang bagi macam-macam meaning. Tapi ini lain. Bahaya betul la... Skrip pun lain, skrip ni direct dan terus pada cerita."   - Aman Nassim



"Bila pengarah offer aku skrip ni. Aku tanya dia balik, betul ke ni? Tapi dia kata, dia memang tulis skrip ni untuk aku. Ok aku je. Aku sentiasa ok. Tak kisah mana-mana. Aku tak macam pelakon lain, yang takut la, komplen bila nak buat teater yang suram macam ni. Dia pengarah, dia tau la apa dia nak buat. Aku ok je. Kau ok?"  - Mustaqim.

Friday 20 April 2012

10 Trivia ROMPAKAN BERSEPADU - Plan-B

1 . Fasyali Fadzly sebenarnya sebelum ini merupakan 'musuh ketat' Aloy Paradoks dalam scene teater alternatif. Saling mengkritik hasil kerja satu sama lain. Namun melalui teater "Kotak Hitam" yang diarahkan olehnya tak lama dulu, dia telah mengambil 'musuh ketat' nya itu selaku pelakon, kemudian kerjasama diteruskan dengan Teater Juta-Juta dan kini ROMPAKAN BERSEPADU pula. Sudahnya sekarang mereka berkongsi rumah yang sama. Apa-apa benda ntah.

2 . Shyrudin pula pelakon yang sangat tidak digemari cara lakonannya oleh Fasyali. Apa saja karekter yang dibawa oleh Shyrudin selama ini sangat tidak kena di matanya. Tapi untuk teater ini mereka saling bersikap profesional dan kutuk mengutuk selepas latihan tetap berlaku.

3 . Shyrudin juga sebelum ini pernah mengarah Aloy Paradoks dan Rayza MukMin untuk teater The Bacchae. Tapi Aloy Paradoks tetap menafikan bahawa sebenarnya dia yang buat kerja-kerja pengarahan untuk teater itu. Shyrudin cuma jual nama katanya macam pengarah-pengarah dekat IB tu.

4 . Aman Nassim suatu masa dulu pernah dikutuk oleh Aloy apabila melakokan watak dalam teater Lif-E. Aloy melihat Aman pada masa itu sebagai pelakon yang kaku. Sekarang pun masih sama sebenarnya, cuma kaku yang berkarekter. Selepas mereka terlibat dalam sesi baca skrip Hamlet, baru Aloy nampak Aman ni ada karekter. Jadi lepas kerjasama dan disiplin yang baik dalam teater Merocok-Rocok dulu, Aman sekali lagi di ajak menyertai produksi baru ini.

5 . Mustaqim tidak datang semasa sesi fotografi untuk poster teater ini. Sibuk berlakon drama tv katanya. Maka tempatnya diganti oleh Aliffie Nordin (krew audio) dengan bersarung kepala. Dan dalam hal yang lain, Aliffie memang gemar menyarungkan kepalanya bila tiba masa-masanya.

6 . Aloy Paradoks mula nampak keupayaan lakonan Mustaqim selepas menonton teater Hart-E. Walaupun dia tidak menyukai teater itu, tapi dia menyukai lakonan Mustaqim. Seterusnya lakonan hebat Mustaqim disaksikan lagi dalam teater Titus Andronicus. Manakala ketika dalam program realiti JOM LUMBA pula, Aloy dan Mustaqim mula saling kenal dengan lebih rapat dan ajak untuk sertai produksi ini.

7 . Aliffie Nordin merupakan krew audio dan krew pentas. Pada tahun 2007, dia pernah mengarah Aloy Paradoks, Shyrudin dan Rayza MukMin dalam teater Rekaan Utama. Kini keempat-empat mereka tak suka teater itu.

8 . Anas Ridzuan patutnya berlakon dalam teater ni. Tapi panggilan dari Faizal Tahir lebih kuat dari Aloy Paradoks. Faizal Tahir kot... maka sekarang, dari teater ROMPAKAN BERSEPADU, dia mencipta nama di Mentor.

9 . Rayza MukMin merupakan rakan satu sekolah menengah dengan Shyrudin di Kuantan. Jadi dia dah lama kenal Shyrudin, tapi Shyrudin tak kenal dia, sebab Shyrudin masa tu ketua pengawas. Kemudian di UiTM, sekali lagi mereka satu kelas. Cuma bezanya, Shyrudin rajin datang, Rayza tak.

10 . Sufian Abas adalah pembuat poster. Dia tak puas hati dengan gambar yang ditangkap sendiri olehnya, sebab masa shoot matahari sangat panas, dan dia tak boleh nak tengok hasilnya. Fakta lain pula, Sufian Abas tak pernah suka teater yang dibuat oleh Aloy Paradoks, dan dia selalu ludah-ludah ke lantai bila habis show.

Wednesday 18 April 2012

Pengarah Projek Trilogi Teater ROMPAKAN BERSEPADU


Aloy Paradoks

Aloy Paradoks merupakan seorang penulis dan aktivis teater alternatif di Malaysia. Antara karya teater tulisan dan arahan beliau ialah NAUTIKA (2009), HEGEMONI (2010), MEROCOK-ROCOK (2011), QARIN (2011) dan BERSIH (2012). Manakala antara teater lakonan beliau pula ialah KOTAK HITAM, TEATER JUTA-JUTA serta TEATER JUTA-JUTA KE PUTRAJAYA (2011) arahan Fasyali Fadzly, 1 PLASTIK HITAM(2011) arahan Syahrul Fitri Musa,  ARMS AND THE MAN (2010) arahan Ahmad Yatim dan THE BACCHAE (2009) arahan Shyrudin.

Penglibatan awal bersama kumpulan teater UiTM Shah Alam, Aktor Seni Pentas, dibawah bimbingan Mus Rohaizi Ayu. Menyambung pelajaran kemudiannya di peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam pengarahan teater di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), tetapi tidak menamatkannya atas alasan kekangan masa  (baca ; malas dan rasa diri dah power).

Merupakan founder PARADOKS PRODUCTIONS pada tahun 2009, yang mana penubuhannya bermatlamat untuk giat menganjurkan majlis-majlis kesenian di sekitar Lembah Kelang, pementasan teater dan juga membikin filem-filem alternatif. Antara projek filem yang telah dilaksanakan ialah feature film indie berjudul KONTRADIKSI. Namun masih dalam peringkat suntingan dan perbincangan untuk tayangan umum. Selain bergerak bersama PARADOKS, beliau juga kini bertugas sebagai editor dan penerbit di syarikat penerbitan SeLUT Press ; sebuah syarikat penerbitan yang ditubuhkan untuk memberi peluang kepada penulis-penulis muda menghasilkan karya/novel yang segar.

Manakala buku-buku tulisan beliau pula ialah ; BURGERMPARK(2010), KAU(2011), NURUL  ASYIKIN(2011) dan NAKAL(2012). Untuk akan datang, selepas pementasan teater ROMPAKAN BERSEPADU ini, novel ROMPAKAN BERSEPADU pula akan dilancarkan pada 23 Jun 2012. Dan projek teater bertajuk BENDA CELAKA YANG DIPANGGIL KOMITMEN sudah menanti untuk dipentaskan pada 29 Jun 2012 nanti.


Teater jenis ROMPAKAN BERSEPADU adalah benda yang ingin sangat dilakukannya dari dulu, dan bakal tercapai.

Pelakon ROMPAKAN BERSEPADU ep 1 - Plan B :

Fasyali Fadzly

Kini bertugas sebagai pensyarah jabatan teater di Fakulti Teknologi Kreatif dan Artistik UiTM Shah Alam. Juga merupakan graduan dari universiti berkenaan.  Mula melibatkan diri secara serius dalam teater semenjak 2003, sebagai penulis dan pengarah.

Antara teater yang pernah beliau arahkan ialah BERANI MATI(2009), REBAN AYAM ITIK(2010), PADUKA OEDIPUS(2011) dan TEATER JUTA-JUTA serta TEATER JUTA-JUTA KE PUTRAJAYA (2011).
Beliau juga terlibat dalam bidang lakonan pentas, antaranya teater KALUT(2008), Monodrama RACAU(2009), monodrama TANGAN KIRI AYAH(2009) dan 1 PLASTIK HITAM(2011). Untuk pementasan teater KALUT, beliau dinobatkan sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik. Manakala untuk monodrama RACAU, dinobatkan sebagai Pelakon Harapan Terbaik. 


Fasyali banyak menulis mengenai review dan teater di dalam blognya, fasyalifadzly.com. Sudah lebih 60 review yang ditulis sepanjang menjadi penonton teater tegar. Kini beliau dalam persiapan menyambung pelajaran ke peringkat Sarjana dalam bidang pengarahan di Kanada pada september nanti. Bercita-cita mahu menjadi pendidik dan penggiat teater yang prolifik.




Rayza MukMin

Rayza MukMin juga merupakan co-founder PARADOKS PRODUCTIONS pada peringkat penubuhan dulu. Penglibatan awal sebelum itu ialah bersama kumpulan teater UiTM Shah Alam, Aktor Seni Pentas. Antara teater yang pernah dilakonkan oleh Rayza MukMin ialah REKAAN UTAMA arahan Nur Azlin(2008), BAKAI arahan Shyrudin(2009), serta tiga teater arahan Aloy Paradoks sebelum ini, NAUTIKA(2009), HEGEMONI(2010), dan BERSIH(2011). Selain dari itu, juga turut berlakon dalam sebuah teater kanak-kanak SI MANIS BERTUDUNG MERAH,  arahan Marlia Musa.



Aman Nassim

Pemegang Diploma Seni Persembahan dari Fakulti Teater Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan. Baru saja selesai mengikuti pengambaran beberapa drama tv, antaranya KERANAMU LAILA, SUPERMAK, TANAH KUBUR, TEROWONG, LAYAR IMPIAN, OPAH dan HATI SEORANG WANITA.


Manakala antara teater  yang pernah dilakonkan pula ialah, RIBUT arahan Rohani Yousuf(2009), LIF E arahan Adika Zainal (2009), SYAKUNTALA (2010),  HART-E (2010), MALAM JAHANAM (2011) dan MEROCOK-ROCOK arahan Aloy Paradoks (2011).



Shyrudin

Graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Aktuari, Fakulti Teknologi Maklumat UiTM Shah Alam. Kini merupakan pemilik sebuah syarikat penerbitan buku bernama Sang Freud Press. Co-faunder untuk PARADOKS PRODUCTIONS. Walaupun menuntut dalam bidang yang berlainan, namun beliau tetap mempunyai minat yang tinggi terhadap bidang kreatif, khususnya teater. Maka dengan itu mencari solusi dengan bergiat aktif dalam kumpulan teater Aktor Seni Pentas semasa di UiTM lagi.

Pernah berlakon sebelum ini dalam teater arahan Aloy Paradoks, NAUTIKA(2009), HEGEMONI(2010) dan MEROCOK-ROCOK(2011). Juga merupakan co-faunder PARADOKS PRODUCTIONS. Dan bertindak sebagai pemilik syarikat penerbitan SANG FREUD PRESS yang giat menerbitkan karya-karya penulis muda.


Mustaqim

Pemegang diploma seni persembahan dari Fakulti Teater Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).  Banyak terlibat dalam pementasan-pementasan selaku pelakon. Antaranya Gerimis Mengundang arahan Ahmad Idham(2012), Projek Koken Tanda arahan Namron(2010), Titus Andronicus arahan Kirin Muhammad(2011), West Side Story arahan Fiza Hatta(2010),  Bangsawan Haris Fadhilah (2009), Lysistrata arahan Rohani Yousuf(2009), dan Bila Zoo Ditutup(2008). Selain dari itu, Mustaqim juga merupakan pemegang watak utama dalam filem Penunggu Istana(2011).

Projek Teater Trilogi ROMPAKAN BERSEPADU

ROMPAKAN BERSEPADU merupakan satu projek teater trilogi dan novel. Idea untuk membikin teater bersiri muncul semenjak tahun 2009 lagi selepas PARADOKS PRODUCTIONS mementaskan karya teater pertamanya.

Dan kini pada tahun 2012, projek itu bakal terlaksana apabila ROMPAKAN BERSEPADU akan dipentaskan. Idea ROMPAKAN BERSEPADU pula secara tak langsung muncul selepas pembikinan filem pendek ekpress TIKAM yang diarahkan oleh Razaisyam Rashid dan skrip tulisan Nazri M.Annuar. Untuk projek itu Aloy Paradoks, Fasyali Fadzly, Rayza MukMin dan Shyrudin merupakan pelakonnya. Idea dan konsep filem pendek TIKAM itu kemudian dianggap sebagai hak milik bersama, dan setiap orang boleh membikinnya kembali dalam bentuk atau medium yang berlainan.

Maka, Aloy Paradoks mengambil keputusan untuk menulisnya dalam naskah teater pula, dan diberi nama ROMPAKAN BERSEPADU. Ia sama sekali berbeza dari segi jalan cerita berbanding filem pendek TIKAM, tapi masih mengekalkan intipati yang sama.

Dan selepas digabungkan dengan idea teater bersiri itu, maka muncul Projek Teater Trilogi ROMPAKAN BERSEPADU. Dengan edisi pembukaan berjudul ;

ROMPAKAN BERSEPADU ep 1 - Plan B.

Penulis/Pengarah : Aloy Paradoks
Lakonan : Fasyali Fadzly, Rayza MukMin, Aman Nassim, Shyrudin dan Mustaqim.
Tarikh : 03 mei hingga 06 mei 2012.
Tempat : Stor Teater Dewan Bahasa Dan Pustaka.
Masa : 8.30 malam.
Tiket : RM 20
Tempahan : 012-6293327