Saturday, 21 April 2012

Apa Kata Pelakon Rompakan Bersepadu - Plan B




"Sebenarnya tawaran berlakon teater ni dah lama aku dapat. Cuma sebelum bagi kata putus, aku kata aku tak nak watak yang streotaip. Aku selalu dapat watak kelakar. Aku tak boleh terima benda tu. Aku tak kelakar. Dan akhirnya bila dapat skrip, watak aku kali ni memang mencabar dan berbeza dari watak-watak pernah aku bawak sebelum ni." - Fasyali Fadzly







"Jarang ada orang nak teater yang twist macam ni. Selalu orang buat teater protes dan nasihat. Cuma pacing cerita dan rentak lakon yang slow tu memang cabaran. Dan Paradoks, kekal dalam caranya, krew produksi sikit. Tolak pelakon dan pengarah. Hanya seorang krew untuk jaga audio. Mana ada duit nak bayar ramai-ramai"                        -Rayza MukMin







"Ini pertama kali Paradoks, dan pengarah ni nak buat teater realisme. Pertama kali dan dia cuba nak bermain dengan tempo yang slow. Bahaya. Kalau pelakon tak dapat feel betul-betul sampai ke maksud yang pengarah nak. Memang bahaya." - Shyrudin







"Bila pengarah kata nak buat show yang suram. Lepas tu tengok cara dia bagi subteks. Aku dah mula risau. Dia ni biar betul. Selalu Paradoks akan tekankan style lakonan dan tindak balas yang laju. Segala berlaku dengan pantas, dan banyak gerak-gerak simbolik yang bagi macam-macam meaning. Tapi ini lain. Bahaya betul la... Skrip pun lain, skrip ni direct dan terus pada cerita."   - Aman Nassim



"Bila pengarah offer aku skrip ni. Aku tanya dia balik, betul ke ni? Tapi dia kata, dia memang tulis skrip ni untuk aku. Ok aku je. Aku sentiasa ok. Tak kisah mana-mana. Aku tak macam pelakon lain, yang takut la, komplen bila nak buat teater yang suram macam ni. Dia pengarah, dia tau la apa dia nak buat. Aku ok je. Kau ok?"  - Mustaqim.

Friday, 20 April 2012

10 Trivia ROMPAKAN BERSEPADU - Plan-B

1 . Fasyali Fadzly sebenarnya sebelum ini merupakan 'musuh ketat' Aloy Paradoks dalam scene teater alternatif. Saling mengkritik hasil kerja satu sama lain. Namun melalui teater "Kotak Hitam" yang diarahkan olehnya tak lama dulu, dia telah mengambil 'musuh ketat' nya itu selaku pelakon, kemudian kerjasama diteruskan dengan Teater Juta-Juta dan kini ROMPAKAN BERSEPADU pula. Sudahnya sekarang mereka berkongsi rumah yang sama. Apa-apa benda ntah.

2 . Shyrudin pula pelakon yang sangat tidak digemari cara lakonannya oleh Fasyali. Apa saja karekter yang dibawa oleh Shyrudin selama ini sangat tidak kena di matanya. Tapi untuk teater ini mereka saling bersikap profesional dan kutuk mengutuk selepas latihan tetap berlaku.

3 . Shyrudin juga sebelum ini pernah mengarah Aloy Paradoks dan Rayza MukMin untuk teater The Bacchae. Tapi Aloy Paradoks tetap menafikan bahawa sebenarnya dia yang buat kerja-kerja pengarahan untuk teater itu. Shyrudin cuma jual nama katanya macam pengarah-pengarah dekat IB tu.

4 . Aman Nassim suatu masa dulu pernah dikutuk oleh Aloy apabila melakokan watak dalam teater Lif-E. Aloy melihat Aman pada masa itu sebagai pelakon yang kaku. Sekarang pun masih sama sebenarnya, cuma kaku yang berkarekter. Selepas mereka terlibat dalam sesi baca skrip Hamlet, baru Aloy nampak Aman ni ada karekter. Jadi lepas kerjasama dan disiplin yang baik dalam teater Merocok-Rocok dulu, Aman sekali lagi di ajak menyertai produksi baru ini.

5 . Mustaqim tidak datang semasa sesi fotografi untuk poster teater ini. Sibuk berlakon drama tv katanya. Maka tempatnya diganti oleh Aliffie Nordin (krew audio) dengan bersarung kepala. Dan dalam hal yang lain, Aliffie memang gemar menyarungkan kepalanya bila tiba masa-masanya.

6 . Aloy Paradoks mula nampak keupayaan lakonan Mustaqim selepas menonton teater Hart-E. Walaupun dia tidak menyukai teater itu, tapi dia menyukai lakonan Mustaqim. Seterusnya lakonan hebat Mustaqim disaksikan lagi dalam teater Titus Andronicus. Manakala ketika dalam program realiti JOM LUMBA pula, Aloy dan Mustaqim mula saling kenal dengan lebih rapat dan ajak untuk sertai produksi ini.

7 . Aliffie Nordin merupakan krew audio dan krew pentas. Pada tahun 2007, dia pernah mengarah Aloy Paradoks, Shyrudin dan Rayza MukMin dalam teater Rekaan Utama. Kini keempat-empat mereka tak suka teater itu.

8 . Anas Ridzuan patutnya berlakon dalam teater ni. Tapi panggilan dari Faizal Tahir lebih kuat dari Aloy Paradoks. Faizal Tahir kot... maka sekarang, dari teater ROMPAKAN BERSEPADU, dia mencipta nama di Mentor.

9 . Rayza MukMin merupakan rakan satu sekolah menengah dengan Shyrudin di Kuantan. Jadi dia dah lama kenal Shyrudin, tapi Shyrudin tak kenal dia, sebab Shyrudin masa tu ketua pengawas. Kemudian di UiTM, sekali lagi mereka satu kelas. Cuma bezanya, Shyrudin rajin datang, Rayza tak.

10 . Sufian Abas adalah pembuat poster. Dia tak puas hati dengan gambar yang ditangkap sendiri olehnya, sebab masa shoot matahari sangat panas, dan dia tak boleh nak tengok hasilnya. Fakta lain pula, Sufian Abas tak pernah suka teater yang dibuat oleh Aloy Paradoks, dan dia selalu ludah-ludah ke lantai bila habis show.

Wednesday, 18 April 2012

Pengarah Projek Trilogi Teater ROMPAKAN BERSEPADU


Aloy Paradoks

Aloy Paradoks merupakan seorang penulis dan aktivis teater alternatif di Malaysia. Antara karya teater tulisan dan arahan beliau ialah NAUTIKA (2009), HEGEMONI (2010), MEROCOK-ROCOK (2011), QARIN (2011) dan BERSIH (2012). Manakala antara teater lakonan beliau pula ialah KOTAK HITAM, TEATER JUTA-JUTA serta TEATER JUTA-JUTA KE PUTRAJAYA (2011) arahan Fasyali Fadzly, 1 PLASTIK HITAM(2011) arahan Syahrul Fitri Musa,  ARMS AND THE MAN (2010) arahan Ahmad Yatim dan THE BACCHAE (2009) arahan Shyrudin.

Penglibatan awal bersama kumpulan teater UiTM Shah Alam, Aktor Seni Pentas, dibawah bimbingan Mus Rohaizi Ayu. Menyambung pelajaran kemudiannya di peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam pengarahan teater di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), tetapi tidak menamatkannya atas alasan kekangan masa  (baca ; malas dan rasa diri dah power).

Merupakan founder PARADOKS PRODUCTIONS pada tahun 2009, yang mana penubuhannya bermatlamat untuk giat menganjurkan majlis-majlis kesenian di sekitar Lembah Kelang, pementasan teater dan juga membikin filem-filem alternatif. Antara projek filem yang telah dilaksanakan ialah feature film indie berjudul KONTRADIKSI. Namun masih dalam peringkat suntingan dan perbincangan untuk tayangan umum. Selain bergerak bersama PARADOKS, beliau juga kini bertugas sebagai editor dan penerbit di syarikat penerbitan SeLUT Press ; sebuah syarikat penerbitan yang ditubuhkan untuk memberi peluang kepada penulis-penulis muda menghasilkan karya/novel yang segar.

Manakala buku-buku tulisan beliau pula ialah ; BURGERMPARK(2010), KAU(2011), NURUL  ASYIKIN(2011) dan NAKAL(2012). Untuk akan datang, selepas pementasan teater ROMPAKAN BERSEPADU ini, novel ROMPAKAN BERSEPADU pula akan dilancarkan pada 23 Jun 2012. Dan projek teater bertajuk BENDA CELAKA YANG DIPANGGIL KOMITMEN sudah menanti untuk dipentaskan pada 29 Jun 2012 nanti.


Teater jenis ROMPAKAN BERSEPADU adalah benda yang ingin sangat dilakukannya dari dulu, dan bakal tercapai.

Pelakon ROMPAKAN BERSEPADU ep 1 - Plan B :

Fasyali Fadzly

Kini bertugas sebagai pensyarah jabatan teater di Fakulti Teknologi Kreatif dan Artistik UiTM Shah Alam. Juga merupakan graduan dari universiti berkenaan.  Mula melibatkan diri secara serius dalam teater semenjak 2003, sebagai penulis dan pengarah.

Antara teater yang pernah beliau arahkan ialah BERANI MATI(2009), REBAN AYAM ITIK(2010), PADUKA OEDIPUS(2011) dan TEATER JUTA-JUTA serta TEATER JUTA-JUTA KE PUTRAJAYA (2011).
Beliau juga terlibat dalam bidang lakonan pentas, antaranya teater KALUT(2008), Monodrama RACAU(2009), monodrama TANGAN KIRI AYAH(2009) dan 1 PLASTIK HITAM(2011). Untuk pementasan teater KALUT, beliau dinobatkan sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik. Manakala untuk monodrama RACAU, dinobatkan sebagai Pelakon Harapan Terbaik. 


Fasyali banyak menulis mengenai review dan teater di dalam blognya, fasyalifadzly.com. Sudah lebih 60 review yang ditulis sepanjang menjadi penonton teater tegar. Kini beliau dalam persiapan menyambung pelajaran ke peringkat Sarjana dalam bidang pengarahan di Kanada pada september nanti. Bercita-cita mahu menjadi pendidik dan penggiat teater yang prolifik.




Rayza MukMin

Rayza MukMin juga merupakan co-founder PARADOKS PRODUCTIONS pada peringkat penubuhan dulu. Penglibatan awal sebelum itu ialah bersama kumpulan teater UiTM Shah Alam, Aktor Seni Pentas. Antara teater yang pernah dilakonkan oleh Rayza MukMin ialah REKAAN UTAMA arahan Nur Azlin(2008), BAKAI arahan Shyrudin(2009), serta tiga teater arahan Aloy Paradoks sebelum ini, NAUTIKA(2009), HEGEMONI(2010), dan BERSIH(2011). Selain dari itu, juga turut berlakon dalam sebuah teater kanak-kanak SI MANIS BERTUDUNG MERAH,  arahan Marlia Musa.



Aman Nassim

Pemegang Diploma Seni Persembahan dari Fakulti Teater Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan. Baru saja selesai mengikuti pengambaran beberapa drama tv, antaranya KERANAMU LAILA, SUPERMAK, TANAH KUBUR, TEROWONG, LAYAR IMPIAN, OPAH dan HATI SEORANG WANITA.


Manakala antara teater  yang pernah dilakonkan pula ialah, RIBUT arahan Rohani Yousuf(2009), LIF E arahan Adika Zainal (2009), SYAKUNTALA (2010),  HART-E (2010), MALAM JAHANAM (2011) dan MEROCOK-ROCOK arahan Aloy Paradoks (2011).



Shyrudin

Graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Aktuari, Fakulti Teknologi Maklumat UiTM Shah Alam. Kini merupakan pemilik sebuah syarikat penerbitan buku bernama Sang Freud Press. Co-faunder untuk PARADOKS PRODUCTIONS. Walaupun menuntut dalam bidang yang berlainan, namun beliau tetap mempunyai minat yang tinggi terhadap bidang kreatif, khususnya teater. Maka dengan itu mencari solusi dengan bergiat aktif dalam kumpulan teater Aktor Seni Pentas semasa di UiTM lagi.

Pernah berlakon sebelum ini dalam teater arahan Aloy Paradoks, NAUTIKA(2009), HEGEMONI(2010) dan MEROCOK-ROCOK(2011). Juga merupakan co-faunder PARADOKS PRODUCTIONS. Dan bertindak sebagai pemilik syarikat penerbitan SANG FREUD PRESS yang giat menerbitkan karya-karya penulis muda.


Mustaqim

Pemegang diploma seni persembahan dari Fakulti Teater Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).  Banyak terlibat dalam pementasan-pementasan selaku pelakon. Antaranya Gerimis Mengundang arahan Ahmad Idham(2012), Projek Koken Tanda arahan Namron(2010), Titus Andronicus arahan Kirin Muhammad(2011), West Side Story arahan Fiza Hatta(2010),  Bangsawan Haris Fadhilah (2009), Lysistrata arahan Rohani Yousuf(2009), dan Bila Zoo Ditutup(2008). Selain dari itu, Mustaqim juga merupakan pemegang watak utama dalam filem Penunggu Istana(2011).

Projek Teater Trilogi ROMPAKAN BERSEPADU

ROMPAKAN BERSEPADU merupakan satu projek teater trilogi dan novel. Idea untuk membikin teater bersiri muncul semenjak tahun 2009 lagi selepas PARADOKS PRODUCTIONS mementaskan karya teater pertamanya.

Dan kini pada tahun 2012, projek itu bakal terlaksana apabila ROMPAKAN BERSEPADU akan dipentaskan. Idea ROMPAKAN BERSEPADU pula secara tak langsung muncul selepas pembikinan filem pendek ekpress TIKAM yang diarahkan oleh Razaisyam Rashid dan skrip tulisan Nazri M.Annuar. Untuk projek itu Aloy Paradoks, Fasyali Fadzly, Rayza MukMin dan Shyrudin merupakan pelakonnya. Idea dan konsep filem pendek TIKAM itu kemudian dianggap sebagai hak milik bersama, dan setiap orang boleh membikinnya kembali dalam bentuk atau medium yang berlainan.

Maka, Aloy Paradoks mengambil keputusan untuk menulisnya dalam naskah teater pula, dan diberi nama ROMPAKAN BERSEPADU. Ia sama sekali berbeza dari segi jalan cerita berbanding filem pendek TIKAM, tapi masih mengekalkan intipati yang sama.

Dan selepas digabungkan dengan idea teater bersiri itu, maka muncul Projek Teater Trilogi ROMPAKAN BERSEPADU. Dengan edisi pembukaan berjudul ;

ROMPAKAN BERSEPADU ep 1 - Plan B.

Penulis/Pengarah : Aloy Paradoks
Lakonan : Fasyali Fadzly, Rayza MukMin, Aman Nassim, Shyrudin dan Mustaqim.
Tarikh : 03 mei hingga 06 mei 2012.
Tempat : Stor Teater Dewan Bahasa Dan Pustaka.
Masa : 8.30 malam.
Tiket : RM 20
Tempahan : 012-6293327